Pages

Monday, January 21, 2008

SYUKUR : Anugerah Allah Yg Paling Agung

Antara syukur dan redha, syukur adalah perkara yang paling payah untuk dilakukan. Untuk redha, seseorang itu hanya perlu bersabar terhadap apa sahaja yang ditentukan Tuhan terhadap dirinya.

Lazimnya sesuatu yang dipandang “negatif” oleh manusia sentiasa dikaitkan dengan perlunya mereka untuk rasa redha. Dengan cara ini mudah-mudahan jiwa yang tertekan itu dapat ditenangkan.

Mungkin ada orang yang akan mengatakan rasa redha seperti ini adalah satu “excuses” (alasan) yang manusia lakukan sekadar untuk menenangkan perasaan. Terpulang. Yang penting, itulah yang Tuhan mahukan, kerana atas alasan apa pun, rasa redha pada Qada’ dan Qadar Tuhan adalah antara rasa-rasa kehambaan yang harus wujud dalam diri manusia.

Untung juga kalau orang itu dapat memiliki rasa redha. Sebab bukan semua orang Tuhan akan beri rasa kehambaan seperti ini. Bahkan Allah sendiri beri amaran pada kita dalam sebuah hadis qudsi yang maksudnya; “Hai hambaKu, kalau Aku uji engkau dengan satu musibah, kemudian engkau tidak redha, maka keluarlah dari bumi dan langitKu ini dan carilah tuhan yang lain selain Aku!”

Begitulah hebatnya amaran Tuhan pada orang yang tidak mahu redha pada apa yang Dia telah tentukan. Jadi, biarlah apa kata orang sekalipun. Yang dikehendaki Allah adalah hamba-hamba yang sentiasa redha pada Qada’ dan QadarNya.

Untuk mencapai tahap hati boleh redha bukanlah senang. Bukannya boleh dibuat-buat, tapi ia adalah anugerah daripada Allah. Pun begitu, dengan hanya mempunyai sifat redha sahaja pun, seseorang itu masih lagi dikira berada dalam makam atau kedudukan yang rendah dalam pandangan Allah.

Kalau orang itu dapat bersyukur dalam apa juga keadaan dan ketentuan Allah, baik yang bersifat nikmat atau mudharat, maka orang itu telah sampai ke tahap hamba-hamba Allah yang benar-benar ikhlas dalam pengabdian.

Dengan kata lain, apa sahaja yang Allah tentukan untuk orang itu, dia akan terima dengan rasa penuh gembira sehingga pernyataan syukurnya tidak akan putus-putus.

Contohnya, sesorang itu sangat menginginkan sesuatu maka dia memohon daripada Allah kemudian dia usaha sungguh-sungguh. Akhirnya Tuhan kabulkan. Maka orang itu akan bersyukur.

Di kala yang lain pula, dia memohon sesuatu daripada Allah dan berusaha sungguh-sungguh, tiba-tiba Allah tak kabulkan. Maka dalam hal keadaan ini pun dia bukan sekadar redha, tapi dia pun akan tetap bersyukur.

Bagi orang ini, dia bersyukur kerana Allah beri dan juga bersyukur kerana Allah tak beri. Inilah hamba Tuhan yang paling benar. Kenapa demikian?

Baginya, dia bersyukur sebab mungkin kalau Allah kabulkan apa yang dia minta, tentu dia akan gunakan apa diberi Allah itu untuk tujuan yang tidak disukai Tuhan.

Contohnya mungkin kalau Allah beri dia kejayaan seperti yang diminta, dia akan jadi manusia yang sombong. Atau mungkin kalau Allah beri dia kekayaan dan kesenangan, ibadatnya akan semakin berkurang lantaran semakin sibuk menguruskan kekayaannya.

Jadi orang itu sedar betapa Allah sayangkan dia kerana tidak memberi sesuatu yang mungkin pada lahirnya menepati kehendak dirinya, tapi hakikatnya pemberian itu nanti bakal memudharatkannya.

Atas kesedaran itulah maka orang itu tadi akan memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Tuhannya.

Samalah perumpamaannya seperti seorang anak kecil yang merengek-rengek pada ibunya meminta agar dia diberikan pisau untuk dijadikan barang mainannya.

Lantaran sayangnya si ibu pada anaknya, sudah tentu dia tidak akan memberikan pisau itu pada si anak kecil, kerana dia tahu bahayanya pisau itu untuk si kecil.

Musibah dan masalah yang menimpa pun seharusnya disyukuri. Kerana musibah dan masalah itu sebenarnya bukti sayangNya Alah pada manusia. Dengan menimpakan musibah, Allah bermaksud agar manusia yang melakukan maksiat segera sedar bahawa diri mereka sebenarnya lemah dan yang berkuasa hanyalah Allah. Jadi musibah itu sebenarnya satu teguran daripada Allah. Cuba bayangkan kalau Allah biarkan sahaja kita dalam keadaan maksiat tanpa Dia tegur dengan menimpakan musibah?

Oleh itu, sekiranya seseorang itu dapat bersyukur pada Allah tatkala dia tidak mendapat seperti apa yang diminta atau dia bersyukur pada Allah jika dia ditimpa musibah, maka orang itu adalah orang yang benar-benar kenal siapa Tuhan yang disembahnya.

Namun syukur itu tidaklah semudah mengucapkan “alhamdulillah” pada lidah, tidak juga sekadar membuat “kenduri kesyukuran”, bahkan hakikat syukur adalah lebih besar tuntutannya.

Bagi Allah, Dia tidak minta apa-apa daripada kita atas segala kasih sayang yang telah Dia curahkan melainkan hanya satu perkara – pengabdian.

Dia jadikan manusia atas satu tujuan iaitu agar manusia memperhambakan diri padaNya. Ikut apa yang Dia suruh dan tinggalkan apa yang Dia larang. Itu saja.

Jadi untuk mennyatakan kesyukuran atau terima kasih kita pada Tuhan, maka buatlah apa sahaja yang Dia mahu kita lakukan. Dan dalam pada itu, janganlah kita meminta apa-apa balasan daripada Allah atas amalan dan ibadah kita.

Kemampuan kita untuk beribadah itu pun sebenarnya adalah satu kurniaan daripada Allah. Maka memang tidak eloklah kalau kita mengharapkan balasan daripadaNya.

Oleh itu, hendaklah kita usahakan untuk mendidik hati dan jiwa kita supaya kita semakin dekat dan semakin kenal dengan Allah.

Tahu tentang Allah melalui akal sahaja belum memadai. Kerana tahu itu dengan akal, dan kenal itu dengan hati. Kalau hati belum betul-betul kenal Allah, sudah tentulah sukar untuk kita bersyukur pada segala apa yang Dia tentukan untuk kita.

Sudah bertahun lamanya kita berhabis masa, tenaga dan harta untuk mencari guru yang dapat mendidik akal. Kita ke sekolah dan ke universiti mencari ilmu tapi semuanya hanya untuk santapan akal semata-mata.

Sekarang peruntukanlah sedikit masa kita untuk mencari guru yang dapat mendidik hati kita. Kerana hati yang tidak dididik, akan selama-lamanya tidak mampu untuk mengenal Allah. Dan akan rugilah kita hidup di dunia ini kalau selama hidup ini kita tidak dapat mengenal Allah yang saban hari kita sembah

ihsan :

ibnuhamdan

No comments:

CONTROL-Q

 Been a looongggggg pause for this blog Planning to go blogging again with new ME  See ya