Nabi Muhammmad S.A.W. dari perspektif Al-Qur’an
Kita boleh mengenali secara mendalam personaliti Nabi Muhammad S.A.W. dengan merujuk terus pada Al-Qur’an yang telah menceritakan secara terperinci sifat-sifat dan ciri-ciri keistimewaan yang dimiliki oleh Baginda S.A.W.
a) Manusia biasa
“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”
(Al-Kahfi 18 : 110)
Allah S.W.T. telah menyatakan secara jelas dalam ayat di atas bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah manusia biasa seperti orang kebanyakan yang dikurniakan dengan wahyu. Bukti bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah manusia biasa juga jelas terserlah dalam peristiwa golongan Quraisy yang mempersoalkan mengapa Allah S.W.T. memilih utusanNya dari kalangan manusia biasa. Pertikaian ini disebut oleh Allah S.W.T. dalam Al-Qur’an surah Al-Furqan yang bermaksud :
“Dan mereka pula berkata: Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya).”
(Al-Furqan 25 : 7)
Pada hakikatnya, sebagai manusia Rasulullah S.A.W. lebih memahami gelagat dan tabiat manusia. Justeru, setiap persoalan atau permasalahan yang timbul dapat dihuraikan dan diselesaikan secara praktikal. Manusia juga secara umumnya akan lebih mudah untuk mengikuti dan mencontohi nabi yang hidup dan bergaul dalam masyarakat.
b) Utusan untuk seluruh alam
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”
(Al-Anbiyaa’ 21 : 107)
Nabi-nabi yang terdahulu diutuskan khusus kepada kaum masing-masing. Contohnya Nabi Hud kepada kaum ‘Ad, Nabi Saleh kepada kaum Thamud dan Nabi Musa kepada bani Israil. Berbeza dengan Nabi Muhammad S.A.W. yang diutuskan kepada seluruh alam seperti mana yang dinyatakan dalam ayat di atas.
c) Nabi yang ummi
“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk dan dia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
(Surah Al-‘Araaf 7 : 157)
Berdasarkan pada ayat Al-Qur’an di atas, Nabi Muhammad S.A.W. adalah seorang yang ummi iaitu tidak tahu membaca dan tidak tahu menulis. Ini bagi mengelakkan tohmahan bahawa agama Islam yang disampaikan oleh Baginda S.A.W. adalah idea yang timbul hasil dari pembacaan atau kajian sejarah. Pada masa yang sama bagi menghindarkan tuduhan bahawa Baginda S.A.W. mencipta atau mengarang sendiri ayat-ayat Al-Qur’an.
d) Bercakap tidak menurut hawa nafsu
“Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.”
“Segala yang diperkatakannya itu (samada Al-Quran atau hadith) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya”
(An-Najm 53 : 3-4)
Allah S.W.T. memberi jaminan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. tidak bercakap menurut kemahuan atau pendapat sendiri. Sebaliknya Baginda S.A.W. dipandu dan dipimpin oleh wahyuNya. Justeru, ayat-ayat Al-Qur’an adalah kata-kata Allah S.W.T. tanpa sebarang tokok tambah atau penyesuaian oleh sesiapa pun.
e) Berakhlak mulia
“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia”
(Al-Qalam 68 : 4)
Allah S.W.T. juga menjelaskan bahawa, utusan pembawa risalah suci Islam ini mempunyai akhlak dan budi pekerti yang tiada tolok bandingnya. Keperibadian Nabi Muhammad S.A.W. bukan sahaja menjadi kebanggaan umat Islam, malahan turut dikagumi dan mendapat pengiktirafan dari kalangan orang Quraisy yang menentang seruan Islam. Mereka telah memberikan gelaran “al-Amin” iaitu yang jujur dan dipercayai kepada Nabi Muhammad S.A.W. sebelum Baginda S.A.W. dilantik menjadi rasul lagi.
f) Rasul terakhir
“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
(Al-Ahzab 33 : 40)
Ayat Al-Qur’an ini menjadi bukti yang jelas bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah rasul yang terakhir diutuskan oleh Allah S.W.T. kepada umat manusia. Justeru, sesiapa sahaja yang mendakwa bahawa dirinya adalah rasul utusan Allah selepas Nabi Muhammad S.A.W., maka dia melakukan satu pembohongan yang nyata.
~ kredit buat Saudara Izhan Hamidi bin Ibrahim, Perunding Akademi Aidit Sdn. Bhd.


No comments:
Post a Comment