Pages

Wednesday, March 12, 2008

KHUTBAH JUMAAT YANG MENYENTUH HATI - IBU BAPA


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ibu dan bapa merupakan insan yang tidak asing lagi dalam kehidupankita. pengorbanan yang diberikan oleh dua insan ini tidak dapat kita bayangkan. Mereka memberikan selautan kasih saying kepada kita, bukan sahaja selepas kelahiran kita ke dunia ini bahkan ia telah bermula lebih awal daripada itu. Semenjak dalam kandungan lagi perasaan tersebut telah berkembang mekar dan keharumannya dapat kita nikmati sebaik sahaja dilahirkan ke dunia yang penuh dengan ujian dan mehnah ini.

Semenjak itulah bermulanya sebuah pengorbanan yang tidak ada tolok bandingnya. Ayah terpaksa bekerja keras mencari rezeki bagi memastikan anak kesayangannya hidup dalam keadaan yang penuh keselesaan. Kepanasan di bawah terik mentari dan dan kesejukan di bawah titisan hujan menjadi perkara biasa dalam kehidupan hariannya.

Sidang Jumaat yang dibesarkan dalam sebuah keluarga miskin dan sederhana pastinya ingat kisah perjuangan seorang ayah. Mimbar Jumaat yakin, ramai antara kita yang dibesarkan dalam suasana tersebut. Oleh itu, renungkanlah sejenak agar timbul rasa belas dan kasih sayang kita terhadap insan yang bernama ayah ini.


Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Ibu, emak, mama dan ummi ialah perkataan yang tidak asing buat kita semua. Pengorbanan yang dilakukan oleh insan ini teramat mulia pada sisi Allah SWT. Penderitaan yang dialami oleh ibu sewaktu mengandungkan kita pun sudah tidak dapat dibayangkan. Tubuh ibu semakin hari semakin lemah, sehinggalah tiba saat kelahiran, ibu sekali lagi terpaksa mengerah baki kudrat yang ada untuk melahirkan insan yang amat ditunggu kehadirannya. Ada ibu yang selamat dan ada ibu yang terpaksa menggadaikan nyawa demi anak tercinta.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita mengaku bahawa kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan terhadap dua insan ini. Tetapi yang menyedihkan kita masih ada manusia yang tidak tahu menilai pengorbanan yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Penderhakaan dilakukan secara nyata dan jelas tanpa mengambil kira sedikit pun pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka merupakan sikap terkutuk lagi keji. Beberapa bentuk penderhakaan yang dlakukan ialah:

  • Tidak mentaati perintah mereka dan tidak menunaikan tanggungjawab
    sebagai seorang anak.
  • Mementingkan diri sendiri dan keluarga daripada mengambil tahu
    kehidupan ibu bapanya lebih-lebih lagi ketika mereka memerlukan bantuan daripada anak-anak.
  • Kasar ketika berinteraksi dengan ibu bapa dan sering mengeluarkan
    kata-kata yang mengguris hati dan perasaan mereka.
  • Berasa hina dengan kemiskinan ibu bapa setelah memperoleh kemewahan hidup.

Mereka ini manusia yang memiliki jiwa dan peribadi yang amat hina.


Sesungguhnya jiwa yang mulia akan berbangga dengan asal usulnya, bangga dengan ibu bapanya walau apa jua taraf kehidupan mereka dan di mana mereka tinggal. Jika seorang anak sedar dengan penuh keinsafan lautan penderitaan dan bebanan yang dipikul oleh insan yang bernama ibu semenjak mengandungkannya sehinggalah tiba saat melahirkannya, kemudian menyusu dan membesarkannya dan menyedari pengorbanan seorang ayah semenjak mengeluarkan perbelanjaan pertama semasa dia masih dalam kandungan sehinggalah dia menjadi seorang lelaki yang memiliki isteri dan anak nescaya mereka sedar bahawa apa saja yang diberikan oleh mereka selama ini kepada ibu bapa tidak mampu menandingi nilai dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh kedua-dua ibu bapa walaupun untuk satu hari.

Bayangkahlah, apakah azab yang disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang memberikan layanan yang buruk terhadap kedua-dua ibu bapa mereka?

Di manakah maruah manusia sanggup menukar pemberian madu yang manis dengan takungan cuka yang beracun? Jika peranan ibu bapa hanya sekadar menyediakan nafkah untuk anak-anaknya, nescaya musnah segala-galanya tetapi peranan mereka sebenarnya jauh daripada itu.

Mereka mencurahkan sepenuh kasih sayang, cinta yang berputik tidak pernah bermusim bahkan mekar sepanjang hayat mereka, sehinggalah mereka memejamkan mata untuk selama-lamanya.

Sesungguhnya kamu wahai manusia, lebih banyak berhutang kasih sayang daripada berhutang harta benda kepada kedua-dua ibu bapa kamu. Jika bukan kerana kasih sayang tidak mungkin si ayah sanggup memerah keringat dibawah panahan mentari yang membakar isi dan si ibu pula sanggup menggadai nyawa demi melahirkan kamu ke dunia.

Ya Allah, betapa mulianya hati mereka dan betapa sucinya kasih mereka yang sanggup bersengkang mata berjaga malam, semuanya untuk anak tersayang yang asyik menangis dan menjerit minta dibelai dan dimanja. Mereka tidak pernah merasai nikmat tidur pada malam hari ketika orang lain asyik dibuai mimpi indah walaupun untuk seketika waktu, bahkan mereka sanggup menjadikan nyawa mereka sebagai tebusan asalkan anak-anak mereka aman bahagia. Apabila fajar menjelma, keperitan beransur seketika dan anak kecil kembali mempamerkan senyuman yang manja, lantas keperitan yang dialami sepanjang malam pun lenyap entah ke mana, lalu anak kecil pun dipeluk dengan dakapan yang cukup indah, dicium dan dikucup tanpa diiringi sebarang jemu dan rintihan. Inilah gambaran suatu malam daripada ratusan malam yang dihadapi dengan penuh ketabahan.

Untuk diukur dengan harta dunia sebenarnya tidak mencukupi.


Suatu hari datang seorang lelaki menemui Rasulullah saw.

“ Ya Rasulullah, aku telah menunaikan haji bersama ibuku. Aku telah memikul ibuku di atas belakangku dari Yaman hingga sampai ke Baitullah, aku mengelilingi Kaabah bersamanya, aku wukuf di Arafah bersamanya, di Mina aku melontar untuknya. Aku lakukan semuanya kerana ibuku uzur dan tidak mampu bergerak. Oleh itu, aku pikul dia di atas belakangku semasa mengerjakan semua proses ibadah haji. Adakah aku sudah menunaikan haknya ke atasku?.

Rasulullah saw. bersabda, ”Tidak”.

Lelaki itu terkejut lantas berkata, ”kenapa?”. Nabi saw. bersabda, ” Kerana apa yang ibumu lakukan sewaktu masih kecil diiringi dengan harapan dan doa agar engkau terus hidup sedangkan apa yang engkau lakukan terhadapnya diiringi dengan harapan dan doa agar dia mati suatu hari nanti”. (Aw kama qal saw.)

Benarlah sabda junjungan besar saw., semulia mana sekalipun seorang anak itu, sudah pasti tidak akan mampu melakukan pengorbanan seperti yang telah dilakukan oleh ibu dan bapa. Adakah tidak hina dan jijik pada sudut akhlak dan maruah apabila seorang anak berdiri dengan angkuh dihadapan ibu bapanya setelah dewasa sedangkan dia berhutang kepada keduanya semenjak kecil lagi?. Lantaran itu, wajarlaj syariat meletakkan penderhakaan kepada ibu bapa sebagai salah satu dosa besar selepas syirik kepada Allah SWT.

Dalam surah luqman- ayat 13 – 14, Alah SWT. telah mengiringi tegahan syirik kepada Allah bersama-sama pesanan agar berbuat baik kepada ibubapa dan wajib mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada ibu bapa.

Firman Allah SWT. :

Bermaksud: Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: ”Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibi bapamu dan kepada Akulah tempat kembalimu”. Hal ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah saw. Bermaksud: Mahukah aku khabarkan kepada kamu dosa yang paling besar darpada dosa-dosa besar?. Syirik kepada Allah dan derhaka kepada ibu bapa. Tidak ada insan pun yang sanggup melakukan penderhakaan terhadap kedua ibu bapanya kecuali manusia yang hilang maruah, buruk akhlak dan hilang pegangan agamanya. Ada pihak yang cuba membolehkan penderhakaan terhadap ibu bapa mereka kerana kekasaran yang dilakukan ketika membesarkan mereka. Memang tidak dapat diingkari, ada sebilangan kecil ibu bapa bersikap kasar dan bengis ketika membesarkan anak-anak mereka. Tidak syak lagi bengis ini sifat jahiliah yang tidak sepatutnya diwarisi. Namun, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membolehkan sebarang bentuk penderhakaan terhadap mereka. Jangan biarkan peristiwa tersebut mengaburi pandanan kita lantas kita lupa jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa. Sebengis-bengis mereka masih terdapat di sana nostalgia indah yang cukup untuk menggamit hati dan perasaan ini agar menghulurkan kemaafan buat mereka.

Ketika isi masih kemerahan, anggota pulai masih trkulai, hanya berbekalkan anugerah Ilahi, kita pun menangis sebagai isyarat memerlukan sesuatu. Wahai insan, siapakah manusia terdekat yang mendengar tangisan manja itu?. Siapakah insan yang bersusah payah mencari rezeki untuk kita ketika kita belum memiliki tenaga dan kemampuan?. Siapakah insan yang merawati sakit kita sewaktu diri kita masih belum mengenal dunia?. Siapakah insan yang mengawal kita daripada sebarang ancaman bahaya dengan mempertaruhkan nyawa dan diri hanya semata-mata untuk melihat kita terus bernyawa?. Maafkanlah mereka kerana kita terlalu banyak berhutang dengan dua insan ini. Janganlah kita lupa jasa dan pengorbanan mereka walaupun sekarang mereka sudah tidak wujud lagi di dunia ini. Lihat bagaimana layanan yang diberikan mereka terhadap anak-anaknya yang masih kecil, kemudian lihatlah kesakitan, rintihan dan deritanya ibu ketika melahirkan mereka. Kemudian lihatlah betapa letihnya dan lemahnya mereka, wajah ibu tidak secantik dahulu, tangan ibu semakin kasar, badan ibu semakin lemah, ayah pula hanya dapat berehat apabila mentari terbenam dan kadang-kadang kenyenyakkan tidur malamnya tersentak apabila si anak menangis.Esok ayah akan memerah keringat lagi walaupun tidurnya semalam bukan dimiliki sepenuhnya.

Sesiapa ketika hidupnya sentiasa berbuat baik terhadap ibu bapanya pasti Allah akan anugerahkan kepadanya seorang cahaya mata yang bakal mengulangi sejarahnya. Sesiapa yang menderhaka kepada ibu bapanya sudah pasti akan lahir manusia daripada zuriatnya sendiri, lantas mengulangi sejarah hitam yang pernah dilakukan suatu ketika dahulu.

Sabda Rasulullah saw yg bermaksud: Bebuat baiklah terhadap ibu bapa kamu, pasti anak kamu akan berbuat baik terhadap kamu.

(Hadis dikeluarkan oleh Hakim dan Tabrani).

Wassalam.

3 comments:

RaFFLeSiA MeRaH said...

Sesiapa ketika hidupnya sentiasa berbuat baik terhadap ibu bapanya pasti Allah akan anugerahkan kepadanya seorang cahaya mata yang bakal mengulangi sejarahnya...mudah-mudahan ini yg terjadi pada diri akak...amin, eh...panjangnyer khutbah...sok sambung lagi baca....

shimahz said...

mudah2an kita sama2 dpt berkat cmtu.. maaf ye kak sbb tak ringkaskan

am0i Ida said...

contohnya seperti diri saya ini, betapa payahnya ibu menjaga saya begitulah betapa payahnya saya menjaga anak saya...kat dunia lagi Allah dah tunjuk :)

CONTROL-Q

 Been a looongggggg pause for this blog Planning to go blogging again with new ME  See ya